KUALA LUMPUR, 11 Mac – Kumpulan Gerakan Reformasi Veteran Angkatan Tentera Malaysia (GRVATM) mengesa agar Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) dirombak semula bagi memastikan pengurusan kebajikan veteran tentera lebih berkesan.
Presiden GRVATM, Azizan Salleh meminta agar mereformasikan terlebih dahulu pengurusan JHEV ATM di cawangan-cawangan seluruh negara dengan segera.
“Contoh di Utara iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perlis ada 55 ribu veteran tentera, yang nak jaga ada tiga staf, iaitu dua pegawai dan satu pemandu.
“Kita minta veteran-veteran yang tidak berpencen dan masih aktif dilantik menjadi pembantu kepada JHEV, dan dibayar elaun tiap-tiap parlimen mereka akan kawal dan lapor permasalahan veteran kepada JHEV”, katanya.
Azizan menyeru kepada pemimpin-pemimpin politik, jangan mempolitikkan veteran ATM seperti pemimpin parti politik terdahulu, katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Veteran Tentera di pekarangan pusat beli-belah Sogo hari ini.
“Sebab itu kita sesama kita berlaga, ini penting sekarang mesti veteran ATM dijaga tanpa mengira parti politik dan jangan pemimpin parti politik menjadikan veteran, persatuan dan sebagainya alat kepada mana-mana politik seperti mana yang telah berlaku yang lalu-lalu”, tegas Azizan.
Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) Abdul Rani Kulup Abdullah turut menggesa kerajaan untuk menyelesaikan masalah veteran dengan kadar segara.
Abdul Rani yang lebih dikenali sebagai Ayahanda berkata Menteri Pertahanan harus menyelesaikan masalah veteran dan jangan berdolak-dalik lagi.
“Berapa kali tukar kerajaan tapi veteran tetap macam ini juga, ada yang terlantar sakit di hospital tapi masih tidak terbela.
“Masa hidup perlu dikenang, dibayar apa patut, bukan bila sudah mati baru nak bagi Tan Sri, Datuk dan pingat, dah mati buat semua itu,” tegas Abdul Rani.
Turut hadir pada perhimpunan ini ialah Penasihat GRVATM, Brigeder Jeneral Dato’ Abdul Hadi Khatab TUDM, Timbalan Presiden GRVATM, Muzaffar Guzanfar, dan lebih 100 pesara Angkatan Tentera Malaysia.