Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Eksesais Satria Perkasa kekalkan kredibiliti dan kesiagaan anggota Tentera Darat

Eksesais Satria Perkasa kekalkan kredibiliti dan kesiagaan anggota Tentera Darat

by Air Times News Network

Gerik, 10 Mac – Eksesais Satria Perkasa 2019 merupakan satu latihan kepada warga Tentera Darat untuk meningkatkan lagi kemahiran dan keyakinan sebagai anggota terlatih bagi mengkekalkan kredibiliti dan kesiagaan Tentera Darat.

Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Hasagaya Abdullah berkata pada tahun ini merupakan tahun latihan dan penjajaran yang perlu diterjemahkan secara pro-aktif kearah memastikan Tentera Darat terus unggul menggalas amanah yang diberi.

“Sebagai anggota terlatih, cabaran pada sebilang masa adalah untuk kekal terlatih. Pesanan saya, hanya dengan latihan berterusan sahaja kita dapat kekalkan kredibiliti dan kesiagaan Tentera Darat.

“Seperti yang telah Panglima Tentera Darat tegaskan, Eksesais Satria Perkasa perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk kita berlatih sebagai satu kumpulan dan untuk berperang, bukan untuk demonstrasi.

“Garis panduan serta prinsip-prinsip yang dicatatkan dalam Doktrin/Manual Latihan Tentera Darat juga perlu dipatuhi. Hanya dengan cara itu, penilaian yang tepat serta kelemahan sebenar dapat dikenal pasti”, kata Hasagaya semasa ucapan penutup Eksesais Satria Perkasa 6 Briged Siri 1/2019 di Felda Bersia disini hari ini.

Eksesais Satria Perkasa 6 Briged telah dilaksanakan di sekitar kawasan Kuala Kangsar – Gerik melibatkan seramai 164 pegawai dan 3,248 anggota Lain-lain Pangkat (LLP).

Turut hadir Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMBTD), Leftenan Jeneral Datuk Datuk Azizan Md Delin.

Eksesais ini telah dilancarkan secara serentak di Pemerintahan Medan Barat (PMB) melibatkan pasukan dari 6 Briged dan Pemerintahan Medan Timur (PMT) diwakili 3 Briged sempena hari Tentera Darat ke-86 pada 1 Mac yang lalu.

Latihan medan ini bertujuan menguji keupayaan kedua-dua Formasi selaku Strike Force dalam peperangan konvensional melibatkan semua pasukan organik Briged serta unit-unit daripada Trup Divisyen Infantri yang ditumpangkan.

Manakala majlis penutup bagi formasi 3 Briged juga diadakan serentak hari ini yang disempurnakan Panglima Tentera Darat Jeneral Dato’ Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi di Padang SALCRA Kedup II, Mongkos, Sarawak.

Eksesais dibawah formasi 3 Briged telah dilaksanakan disekitar kawasan Lundu, Bau, Puncak Borneo, Tebedu, Mongkos dan Engkabang yang melibakan seramai 111 pegawai dan 2,086 anggota LLP.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!