SHAH ALAM, 9 Mac – Kementerian Pertahanan tidak menolak kemungkinan Malaysia akan berdepan ancaman pengganas dari luar, termasuk kumpulan Daesh, pada masa depan, kata menterinya, Mohamad Sabu.
Justeru, katanya, pihaknya telah mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi sebarang ancaman daripada kumpulan pengganas tersebut.
“Sekarang banyak negara Islam sudah menghadapi ancaman ini seperti Iraq, Somalia, Yaman, Libya dan Sudan. Kita harap Malaysia dapat bendung pergerakan kumpulan ini,” katanya pada program “Bicara Minda Bersama Menteri Pertahanan” anjuran Kumpulan Media Karangkraf di Kompleks Karangkraf di sini semalam.
“Kita tidak akan dapat jangka ancaman dari pengganas ini memandangkan kita tiada maklumat berkaitan penempatan kem latihan mereka.
“Mereka ini boleh berada di mana-mana, mereka tiada pangkalan tetapi boleh menguasai minda dan perkara itu perlu dipantau,” kata Mohamad. – Bernama