Home Teknologi Pertahanan AK-200: Lonjakan siri raifal tempur lagenda Kalashnikov

AK-200: Lonjakan siri raifal tempur lagenda Kalashnikov

by M.Daim

Nama “Kalashnikov” sudah tentu mengingatkan kepada umum akan raifal tempur lagenda dari Rusia seperti AK-47 dan AK-74. Kedua-dua raifal tempur ini dihasilkan oleh bekas anggota tentera Soviet, Mikhail Kalashnikov. Designasi “AK” adalah kependekan kepada “Avtomat Kalashnikova” (Автома́т Кала́шникова) yang bermaksud “raifal automatik Kalashnikov” (Kalashnikov’s Automatic Rifle).

Siri raifal tempur AK-200 menampilkan rekaan yang lebih halus serta memberikan penekanan kepada ergonomik penembak. Picatinny rail dapat dilihat pada bahagian atas laras senjata. Foto: Kalashnikov Group

Baru-baru ini, Rosoboronexport telah melancarkan promosi siri AK-200 keluaran Kalashnikov Concern di pameran IDEX 2019,UAE. Siri raifal tempur ini pada mulanya dirancang untuk dihasilkan pada tahun 2009 bagi menggantikan raifal tempur siri AK-100 seperti AK-101, AK-102, AK-103, AK-104, dan AK-105 serta AK-74M.

Pada tahun 2018, designasi siri AK-200 telah dihidupkan semula oleh Kalashnikov bagi menggantikan siri raifal yangsebelumnya. Selain daripada itu, pengenalan raifal siri 200 juga adalah selari keperluan Tentera Rusia untuk menggantikan AK-74M yang digunakan semenjak 1990-an.

Menurut Kalashnikov, siri raifal AK-200 ini terdiri daripada 2 kelas utama iaitu raifal tempur dan karbin. Kelas raifal tempur adalah terdiri daripada AK-200, AK-201, dan AK-203 manakala karbin adalah terdiri daripada AK-202, AK-204, dan AK-205.

Ringkasan model raifal dalam siri AK-200 keluaran Kalashnikov Concern.

Seperti siri sebelumnya, siri raifal AK-200 ini menggunakan 3 jenis peluru 5.45×39 mm M74, 7.62×39 mm M43 dan 5.56x45mm STANAG 4172 (NATO). Penggunaan peluru tersebut pula dibahagikan kepada beberapa model.

AK-200 dan AK-205 menggunakan peluru 5.45×39 mm sementara 7.62×39 mm digunakan pada AK-203 dan AK-204. AK-201 dan AK-202 pula menggunakan peluru 5.56x45mm.

Kesemua model raifal siri AK-200 dilengkapi dengan rel Picatinny bagi membolehkan pemasangan aksesori khusus mengikut keperluan operator. Selain daripada itu, bahagian udi raifal boleh dilaraskan bagi memberikan keselesaan penembak dari segi ergonomik semasa mengendalikan senjata tersebut.

AK-203 dilengkapi dengan pelancar grenad. Foto: Kalashnikov Group.

Menurut Rosoboronexport, pengenalan siri Kalashnikov AK200 ini adalah selari dengan trend terkini senjata api disamping mengekalkan kualiti tersendiri nama Kalashnikov. Ini terutamanya tahun 2019 merupakan ulang tahun ke-100 kelahiran Mikhail Kalashnikov.

“Siri Kalashnikov AK200 telah dibekalkan kepada kerajaan Rusia dan bakal dieksport kepada pelanggan yang berpotensi di luar Rusia,” kata Ketua Pengarah Kalashnikov Concern, Vladimir Dmitriev.

Sementara itu, Ketua Pengarah Rosoboronexport, Alexander Mikheev menyatakan permit eksport raifal siri ini telah mendapat kelulusan dari kerajaan Rusia.

“Bermula dari sekarang, Rosoboronexport akan menawarkan AK200, AK203, AK204 dan AK205,” jelas Alexander.

Galeri Gambar (klik untuk melihat gambar penuh):

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!