PUTRAJAYA, 18 Feb – Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan kemenangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.27 Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) terbatal dan tidak sah.
Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum memutuskan menolak rayuan Mohamad dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan alasan rayuan yang dibuat tidak ada merit.
Mohamad memohon untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban pada 16 November lalu yang mengisytiharkan keputusan kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) terbatal dan tidak sah.
Serentak dengan itu, Mahkamah memerintahkan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau perlu diadakan dalam tempoh 30 hari dan setiap perayu membayar kos sebanyak RM10, 000 kepada pempetisyen.
Mahkamah Pilihan Raya Khas di Seremban pada 16 November tahun lalu memutuskan kemenangan Mohamad di kerusi DUN Rantau batal dan tidak sah.
Pada 23 Mei tahun lalu, calon PKR bagi DUN Rantau Dr Streram Sinnasamy memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan SPR yang mengisytiharkan Mohamad memenangi kerusi tersebut.