PUTRAJAYA, 15 Feb – Kementerian Pengangkutan Malaysia hari ini mengesahkan insiden sebuah kapal pembekal (supply vessel) OCEAN COOPER 2 yang tenggelam pada awal pagi semalam berlaku dalam perairan Malaysia.
“Kami telah menerima laporan daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan melaporkan sebuah kapal jenis Supply Vessel iaitu OCEAN COOPER 2 telah tenggelam di 3.8 batu nautika Tanjung Penyusop iaitu di koordinat Lat. 01° 20.00’ U, Long. 104° 20.00’ T,
“Penandaan boya amaran telah diletakkan di lokasi kejadian pada hari yang sama,”jelas Kementerian Pengangkutan Malaysia dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.
Menurut pihak kementerian, Jabatan Laut Malaysia akan mengendalikan siasatan insiden tersebut mengikut Seksyen 334, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO 1952).
Sementara itu, Jabatan Laut Malaysia mengesahkan MV POLARIS telah meletakkan boya penanda amaran di kawasan OCEAN COOPER 2 tenggelam.
“Jabatan Laut Malaysia telah mengarahkan MV POLARIS ke lokasi kejadian untuk meletakkan boya penanda amaran bagi memastikan keselamatan pelayaran di kawasan tersebut,
“NAVTEX dan Notice to Mariners (NTM) turut dikeluarkan bagi tujuan hebahan kepada kapal–kapal yang belayar dan berada berhampiran dengan lokasi kejadian,” jelas pihak Jabatan Laut Malaysia dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.
Dalam kejadian yang berlaku pada awal pagi semalam, 3 orang anak kapal OCEAN COOPER 2 telah diselamatkan oleh bot Jolly Rachel 1 yang berada berhampiran lokasi kejadian.