PUTRAJAYA, 14 Feb – Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar mengumumkan pensyarah undang-undang Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Azmi Sharom dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baharu menggantikan Tan Sri Othman Mahmood.
Ismail dalam satu kenyataan hari ini turut mengumumkan pelantikan empat ahli SPR yang baharu iaitu bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Ramlan Ibrahim, bekas Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Datuk Chin Phaik Yoong, Felo Kanan, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Faisal S. Hazis dan BERSIH 2.0 Resource Person, Zoe Randhawa.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan pelantikan-pelantikan tersebut berdasarkan Fasal (1) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.
“Pelantikan-pelantikan tersebut berkuatkuasa mulai tarikh mereka melaporkan diri sebagai anggota SPR sehingga mencapai usia 66 tahun selaras dengan Fasal (3) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, Tan Sri Othman Mahmood bersama lima ahli SPR telah memutuskan memendekkan tempoh perkhidmatan masing-masing berkuatkuasa pada 1 Januari lepas.
Lima ahli SPR itu adalah adalah Datuk Md Yusop Mansur, Datuk Abdul Aziz Khalidin, Datuk Sulaiman Narawi, Datuk Leo Chong Cheong dan Datuk Bala Singam Karupiah.