TAIPING, 12 Feb – Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi berkata penstrukturan semula Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dilaksanakan bagi membolehkan RAJD menjalankan tugas dan peranannya dengan lebih efektif dan efisien supaya menjadi sebuah pasukan bantuan tempur Tentera Darat (TD) yang boleh dipercayai, bersedia melaksanakan dan membantu pasukan itu.
“Melalui penstrukturan itu, RAJD terus mengorak langkah dengan memperkasakan keupayaan dalam empat bidang utama iaitu, Kejuruteraan Medan, Perkhidmatan Kejuruteraan Profesional, Kejuruteraan Pakar Senggara Perhubungan (Line of Communication) dan Geospatial Pertahanan.
“Tugas dan fungsi Geospatial Pertahanan diperkasakan selaras dengan pembangunan strategik di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti pewujudan ‘Network Centric Operation’ (NCO), perisikan jurutera dan sistem persenjataan moden ATM yang memerlukan data geospatial yang lebih terperinci di samping pengintergrasian data geospatial oleh agensi awam serta swasta,” katanya pada majlis Perbarisan Pengisytiharan Penstrukturan Semula RAJD di padang kawad Kem Sangro di sini, semalam.
Ahmad Hasbullah berkata sejajar dengan rancangan memperkasakan tugas dan fungsi geospatial ini, Bahagian Geospatial Pertahanan (BGSP) telah mencadangkan pewujudan tred kepakaran baharu iaitu Jurugeospatial dan kursus-kursus berkaitan bagi menyediakan anggota yang benar-benar mahir di dalam bidang geospatial ini.
“Perkara ini berada di peringkat akhir kelulusan dan akan dilaksanakan pada tahun ini,” ujar PTD.
Selain itu Ahmad Hasbullah berkata, BGSP juga akan membangunkan projek perolehan ‘Defence Geospatial Information Management’ (DGIM) yang akan ditempatkan di Pusat Operasi Pertahanan dan MK RAJD Divisyen yang akan meningkatkan keupayaan dan efisien TD khasnya dan ATM amnya.
PTD juga berkata penstrukturan semula RAJD ini secara amnya bertujuan memperkasakan pasukan supaya boleh dipercayai serta berupaya melaksanakan tugas efektif sejajar dengan situasi, teknologi dan ancaman semasa.