Home Semasa Kesetiaan untuk negara, bukan kepada pemimpin dan parti politik – PM

Kesetiaan untuk negara, bukan kepada pemimpin dan parti politik – PM

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 11 Feb – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan anggota jentera pentadbiran kerajaan bahawa kesetiaan harus diutamakan untuk negara dan bukannya kepada pemimpin atau parti politik tertentu.

Perdana Menteri berkata kesetiaan boleh diberikan kepada pemimpin hari ini atau parti tertentu jika mereka menjalankan tugas dengan baik untuk negara, katanya ketika berucap pada Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Perdana Putra di sini, pagi ini.

“Jika pemimpin atau parti itu dapat tinggikan pencapaian negara kita maka bersetialah kita kepada pemimpin dan parti itu,” katanya.

Menurut laporan Bernama, jika pemimpin itu didapati telah menyeleweng daripada menjalankan tanggungjawab, kesetiaan tidak seharusnya diberikan kepada pemimpin tersebut, ujar Dr Mahathir.

“Pemimpin diperlukan tetapi negara lebih utama. Kadang-kadang kita terpaksa ubah sedikit pandangan kita… janganlah terlalu taksub kepada pemimpin dan parti sehingga kita lupakan tugas kita untuk negara,” katanya.

“Kalau negara itu ditadbir dengan baik dia (kerajaan) perlu mendapat ketaatan dan kesetiaan daripada kita tetapi jika ada penyelewengan maka yang lebih utama ialah negara, bukan orang atau parti atau ideologi tertentu,” katanya.

Beliau berkata keputusan rakyat untuk menukar kerajaan Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-14, Mei tahun lalu selepas 61 tahun tidak pernah bertukar sejak negara mencapai kemerdekaan sudah pasti menimbulkan perasaan tidak senang dan “tidak tentu arah” sesetengah pihak.

Ini kerana katanya, selama 61 tahun kesetiaan hanya diberikan kepada satu kumpulan tertentu.

“Tetapi sekarang ini kita perlu beri kesetiaan kepada kerajaan yang terdiri daripada mereka yang dahulunya musuh kepada kerajaan lama.

“Yang utama bukan pertukaran kerajaan tetapi kesejahteraan dan kebaikan kepada negara,” katanya.

Dr Mahathir berkata jika pemerintahan yang baharu berusaha untuk memajukan negara, dan rakyat mendapat nikmat daripada kemajuan itu, maka kesetiaan hendaklah diberikan kepada negara agar segala usaha yang baik untuk negara dapat dilaksanakan.

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!