PETALING JAYA, 7 Feb – Pesara tentera tidak berpencen meluahkan rasa terkilan susulan tiada lagi skim Bantuan Bakti Negara (BBN) sebanyak RM1,200 setahun di Pakatan Harapan (PH).
Memetik laporan berita Free Malaysia Today (FMT), rata-rata veteran yang ditemui berkata, sejak kerajaan bertukar tangan, bantuan itu masih samar walaupun aduan pernah dibuat kepada Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.
Menurut seorang pesara, Shahran Hadar berkata, di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, bayaran dibuat menjelang akhir tahun. Namun kini, Veteran (tidak berpencen) tidak ada bantuan, saya tidak berani cakap berapa, dulu kerajaan (BN) beri imbuhan RM1,200 setahun.
“Sebelum ini Mat Sabu datang jumpa kami, kami kemukakan supaya teruskan bantuan ini, kami masih menunggu. RM1,200 patut dah dapat untuk 2018 tapi tidak dapat walaupun dah masuk tahun baru,” katanya.
Skim BBN diperkenalkan di bawah pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib Razak dan ia mula diagihkan pada 2016 pada kadar RM1,000 setahun dan dinaikkan RM200 pada 2017.
Terdapat lebih 60,000 pesara tentera tidak berpencen seluruh negara.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kumpulan Veteran Tentera Tidak Berpencen Negeri Pahang, Mohd Sani Ishak berkata, rata-rata pesara terkesan kerana wang RM1,200 dapat membantu bekas tentera menyara keluarga.
“Sekarang orang veteran marah, tahun ini (2018) peruntukan tidak ada, mereka terkesan ada juga tertekan. Dana RM1,200 dapat membantu pesara membeli barang-barang keperluan harian termasuk kos rawatan perubatan,” katanya.
Sani berkata, kerajaan PH sepatutnya meneruskan pemberian imbuhan itu kerana ia merupakan perkara baik dan jumlahnya perlu ditambah.
“Kalau kerajaan teruskan apa salahnya, zaman Mat Sabu ini kita tidak tahu apa nasib pesara.
“Kita minta kerajaan naikkan jumlah BBN kepada RM2,500 setahun, tambah baik untuk pesara yang hadapi sakit kronik, bantuan kos sara hidup, kerana kami berjuang mempertahankan negara menentang komunis,” katanya sambil memaklumkan pendiriannya bukan kerana agenda politik, sebaliknya ingin memastikan nasib bekas pejuang negara terbela.
Sementara itu, Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) Brig Jen (B) Datuk Mohd Arshad Raji berkata isu bantuan melibatkan bekas pesara tentera bukan perkara baru.
Katanya, kerajaan PH tidak sepatutnya dipersalahkan, sebaliknya bekas tentera perlu memperbetulkan kelemahan dalam persatuan sebelum mengharapkan bantuan kerajaan.
“Masalahnya veteran sendiri, mereka ada 140 persatuan, mereka tidak ‘united’. Tidak bersatu itu kelemahan, kalau nak bersuara kena bersatu, ini berpecah, sepatutnya duduk bawah satu gabungan sahaja bukan 140 persatuan.
“Hapuskan dulu banyak persatuan ini, kalau berpecah kerajaan nak bantu susah,” katanya.