COX’S BAZAR, 6 Feb – Angelina Jolie yang juga wakil khas agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mengutuk masyarakat dunia kerana gagal menghalang krisis berkenaan yang menyaksikan kira-kira 730,000 pelarian meninggalkan kediaman mereka di Myanmar.
Pelakon popular Hollywood itu mengunjungi beberapa kem yang menempatkan pelarian Islam Rohingya di Bangladesh.
“Dengan rasa rendah diri, saya berasa bangga kerana berpeluang bersama-sama anda semua di sini.
“Anda mempunyai segala hak untuk tidak terus berada di sini, sebagai pelarian dan bagaimana anda semua dilayan adalah amat memalukan kita semua.
“Apa yang lebih tragik mengenai situasi ini adalah, kita tidak boleh mengatakan yang kita tidak diberi amaran mengenainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berada di kem Kutapalong, di daerah Cox’s Bazar, Bangladesh yang dianggap penempatan terbesar di dunia, yang menempatkan pelarian.