KUALA LUMPUR 4 Feb – Ketua Pegawai Eksekutif Burgess, Jonathan Beckett memaklumkan tawaran bidaan yang diterima untuk kapal layar mewah, Equanimity selepas tamat tempoh lelongannya pada 28 November lalu adalah berada di bawah nilai yang ditetapkan oleh badan penilai profesional.
Burgess adalah firma broker antarabangsa yang bertanggungjawab dalam menguruskan penjualan kapal layar mewah tersebut.
Menurut Jonathan, harga bidaan kapal layar yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu ditetapkan oleh sebuah firma pakar runding kapal layar, Winterbothams adalah sebanyak RM533 juta (AS$130 juta).
“Kami fikir ia harga panduan yang berpatutan melihat kepada kualiti kapal dan kerajaan Malaysia juga telah memberitahu mereka akan mempertimbangkan apa-apa tawaran bernilai ‘sembilan digit’,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, Equanimity kini berada dalam keadaan baik di bawah penyeliaan firma pakar pengurusan kapal layar di Pangkalan Markas Wilayah Laut Tiga (Mawilla 3) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bukit Malut, Langkawi.
Equanimity dirampas pihak berkuasa Malaysia pada 7 Ogos dan mula dilelong sejak 29 Oktober lalu.