CAIRNS, 4 Feb – Banjir yang melanda negeri utara Queensland memaksa Angkatan Pertahanan Australia di kerah bagi membantu mengisi beg pasir, mengerahkan kenderaan kargo amfibia dan membantu menyelamatkan penduduk yang menunggu di bumbung rumah mereka.
Memetik laporan oleh Agensi, tentera Australia dikerah menangani banjir paling besar ‘sejak seabad lalu’ yang menenggelamkan rumah, sekolah dan lapangan terbang di timur laut negara itu, memaksa beratus-ratus penduduk dipindahkan.
Setakat ini kira-kira 400 penduduk Townsville berlindung di kem tentera Lavarak selain dibantu pasukan Palang Merah.
Jurucakap Biro Meteorologi, Adam Blazak memberitahu AFP hujan lebat mungkin berterusan sehingga Khamis, manakala banjir akan mengambil sedikit masa untuk surut walaupun hujan semakin berkurangan.
Blazak berkata, cuaca buruk ini dijangka berterusan sehingga 72 jam di mana sesetengah wilayah bakal melihat jumlah hujan yang melebihi rekod.