SINGAPURA, 1 Feb – Kementerian Pengangkutan Singapura berkata Malaysia telah membuat bayaran kos penangguhan pelaksanaan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR).
Dalam satu kenyataan di sini semalam, jurucakap kementerian itu berkata republik tersebut telah “mendapat pengesahan daripada Kerajaan Malaysia menerusi koresponden diplomatik” mengenai pembayaran itu, menurut laporan Bernama.
Pada 5 September 2018, Singapura bersetuju menangguhkan pembinaan projek itu sehingga akhir Mei 2020.
Penangguhan projek itu, susulan permohonan dari Malaysia, kerajaan bersetuju membayar kos menarik diri sebanyak S$15 juta (RM45.6 juta) kepada kerajaan Singapura.
Pertukaran dokumen undang-undang antara kedua-dua negara telah dibuat di Putrajaya membabitkan perubahan Perjanjian Dua Hala HSR berkenaan.
Perkhidmatan HSR antara Singapura dan Kuala Lumpur dijadualkan bermula menjelang 1 Januari 2031 berbanding tarikh awal pada 31 Dis 2026.