Home Pertahanan dan Keselamatan Kementerian Pertahanan masih siasat penyelewengan Projek Jiwa Murni – Mat Sabu

Kementerian Pertahanan masih siasat penyelewengan Projek Jiwa Murni – Mat Sabu

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 30 Jan – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata Kementerian Pertahanan tidak pernah menamatkan siasatan dakwaaan kononya berlaku penyelewengan dalam isu pengurusan Projek Jiwa Murni (PJM) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Ia masih dalam siasatan dan tidak sampai untuk dibawa ke pengetahuan umum melalui Kertas Putih Pertahanan (KPP).

“Dan masih di dalam siasatan Tan Sri Ambrin (Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan), ia belum tamat lagi semuanya,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Meja Bulat Peringkat Tertinggi Kertas Putih Pertahanan di Wisma Perwira ATM, semalam.

Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menyiasat penyelewengan satu projek menaik taraf jalan di pedalaman Sarawak.

Menurut sumber, projek itu dikatakan tidak menepati piawaian selain gagal disiapkan mengikut waktu yang ditetapkan dipercayai disebabkan oleh faktor rasuah.

Jelasnya, projek melibatkan seorang penjawat awam bergelar Datuk Seri itu bermula pada tahun 2009 dan sepatutnya disiapkan pada 31 September 2011.

Pada tahun lepas, Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan, Tan Sri Ambrin Buang dilaporkan memulakan siasatan pertamanya ke atas Kementerian Pertahanan.

Ambrin berkata jawatankuasa yang ditubuhkan atas persetujuan mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 Mei lalu itu memulakan tugas siasatan berkenaan atas permintaan Mohamad sendiri.

Jelasnya, siasatan jawatankuasa tersebut akan memberi fokus kepada kes-kes yang mencurigakan di mana-mana kementerian selain mengesyor langkah-langkah yang lebih baik bagi membasmi ketirisan wang negara.

Sebagai permulaan ujar Ambrin, jawatankuasa itu akan memulakan penyiasatan ke atas beberapa projek di bawah kelolaan Kementerian Pertahanan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2015,  lawatan audit mendapati kualiti kerja Pengurusan Projek Jiwa Murni (PJM)  kurang memuaskan dan ada jalan yang tidak dibina bahu jalan serta longkang mengikut standard jalan Jabatan Kerja Raya (JKR) disebabkan peruntukan tidak mencukupi.

Kertas Putih Pertahanan yang akan dibentangkan di Parlimen pada Julai adalah dokumen yang bukan lagi diklasifikasikan sebagai sulit yang boleh dibaca oleh semua rakyat negara ini.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!