PETALING JAYA, 30 Jan – Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yakin mempunyai peluang cerah untuk mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih bagi Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu yang dijadual diadakan pada 2 Mac ini.
Bersatu yakin sokongan pengundi Melayu di kawasan berkenaan kekal bersama, katanya seperti dilaporkan Bernama
“Saya rasa sokongan orang Melayu di Semenyih masih kuat, tetapi kita perlu ingat bahawa mungkin terdapat lebih dua parti bertanding, jadi undi orang Melayu mungkin boleh berpecah.
“Sudah tentu ia boleh beri kesan tidak baik kepada sesebuah parti tetapi berdasarkan penilaian, kami yakin masih mempunyai peluang yang cerah untuk menang,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di sini semalam.
PRK DUN Semenyih diadakan susulan kematian penyandang kerusi itu, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung. Penamaan calon ditetapkan pada 16 Feb manakala hari mengundi awal 26 Feb.
Pengerusi PH Selangor Amirudin Shari dilaporkan berkata ia tetap dengan keputusan yang dibuat pada peringkat negeri sebelum ini bahawa Bersatu patut meletakkan calon sebagai penyandang kerusi berkenaan.
Sebelum sidang media itu berlangsung, Dr Mahathir menerima 5,000 borang permohonan untuk menyertai Bersatu daripada wakil beberapa negeri.