BRUSSELS, 29 Jan – Iran berkemungkinan akan meluaskan aktiviti perisikan sibernya ketika hubungannya dengan kuasa Barat bertambah buruk, kata agensi keselamatan digital Kesatuan Eropah (EU) semalam.
Laporan Khas Reuters diterbitkan November lalu mendapati, penggodam Iran menjadi dalang beberapa serangan siber dan kempen salah maklumat dalam talian sejak beberapa tahun lalu ketika negara itu cuba mengukuhkan pengaruhnya di Asia Barat dan seterusnya.
Bulan ini, EU melaksanakan sekatan pertamanya terhadap Iran sejak kuasa dunia bersetuju dalam satu perjanjian nuklear 2015 dengan Tehran, dalam reaksi kepada ujian peluru berpandu balistik dan komplot pembunuhan di bumi Eropah.
“Sekatan baharu dilaksanakan ke atas Iran kemungkinan menekan negara itu untuk memperhebat aktiviti ancaman siber ditaja kerajaan bagi meneruskan objektif geopolitik dan strategik di peringkat serantau,” kata Agensi Kesatuan Eropah untuk Rangkaian dan Keselamatan Maklumat (ENISA) dalam satu laporan.
Seorang pegawai kanan Iran menolak laporan itu mengatakan, ia adalah sebahagian perang psikologi dilancarkan Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya ke atas Iran.
ENISA menyenaraikan penggodam ditaja kerajaan Iran itu sebagai antara ancaman tertinggi keselamatan digital blok itu.