KUALA LUMPUR, 26 Jan – Pihak Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) menyifatkan dakwaan Gerakan Reformasi Veteran ATM (GRVATM) yang menyatakan pihak Kementerian Pertahanan tidak mempunyai rancangan untuk veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai satu dakwaan yang tidak berasas.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dzulkarnain Ahmad dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini berkata, pihak Kementerian Pertahanan melalui JHEV ATM sentiasa prihatin dan menitikberatkan kebajikan Veteran ATM, dan akan terus komited untuk membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi veteran.
Beliau menambah, isu permasalahan Veteran ATM itu juga bukanlah isu baru dan sudah lama dibangkitkan sejak pentadbiran kerajaan terdahulu.
“Kerajaan prihatin akan kebajikan Veteran ATM dan melalui JHEV ATM, masih meneruskan segala kemudahan serta bantuan sedia ada.
“Antaranya Skim Bantuan Sara Hidup, Skim Bantuan Persekolahan, Bantuan Kemasukan ke Universiti Awam/Politeknik, Bantuan Peralatan Pesakit dan Bantuan Bencana Alam di samping bantuan yang lain,” kata Dzulkarnain.
Gerakan Reformasi Veteran Angkatan Tentera Malaysia (GRVATM) semalam berhimpun di Tugu Negara dan mendesak kerajaan mengisytiharkan pelan dan inisiatif yang dapat meningkatkan kebajikan serta status kehidupan golongan veteran yang selama ini dikatakan dipinggirkan kerajaan terdahulu.
Pengerusinya, Azizan Salleh, dilaporkan berkata selepas sembilan bulan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran kerajaan, tiada usaha yang dilakukan untuk membantu dalam isu kebajikan veteran tentera.
Dzulkarnain turut menasihatkan mana-mana veteran yang masih mempunyai permasalahan atau perkara yang ingin disuarakan perlulah menyampaikannya melalui saluran yang betul.
Beliau turut meminta semua Veteran ATM untuk berdaftar dengan persatuan yang sah bagi memudahkan sebarang urusan mahupun penyampaian bantuan dan maklumat.
“Dengan sistem dan mekanisme sedia ada, JHEV ATM akan terus berusaha untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada Veteran ATM,” jelas Dzulkarnain.