CAMERON HIGHLANDS, 26 Jan – Proses pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands bermula pada 8 pagi ini di kesemua 29 Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi membolehkan 31,749 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.
Pusat pengundian yang merangkumi 29 buah sekolah itu akan ditutup secara berperingkat mulai 1 petang sehingga 5.30 petang. Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) , Azhar Azizan Harun, penutupan awal yang melibatkan 23 pusat pengundian dilakukan kerana kedudukannya yang jauh serta aspek keselamatan.
Parlimen Cameron Highlands mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Tanah Rata yang mempunyai 17 buah PDM dan DUN Jelai yang mempunyai 12 PDM. Sekolah Kebangsaan (SK) Lemoi di DUN Tanah Rata merupakan PDM yang paling awal ditutup. 5 PDM di DUN Tanah Rata akan ditutup pada jam 2 petang manakala 9 lagi pada 3 petang.
SPR turut menambah saluran mengundi di beberapa pusat mengundi bagi memastikan kelancaran dan mempercepatkan proses mengundi.
DUN Tanah Rata mempunyai 19,280 pengundi berdaftar manakala DUN Jelai mempunyai seramai 12,469 pengundi. Dalam pada itu, SPR telah menyasarkan 70 peratus pemilih keluar mengundi pada PRK ini dan keputusan dijangka diumumkan pada sekitar 10 malam.
Pihak SPR turut mengumumkan siaran Lintas Langsung Hari Mengundi, Proses Pengiraan Undi, Proses Penjumlahan Undi dan Pengumuman Keputusan PRK P.078 Cameron Highlands di akaun media sosial rasmi mereka.
Pengundian awal PRK Cameron Highlands telah dijalankan pada 22 Januari lalu dengan melibatkan 247 pengundi. Menurut SPR, peratusan keluar mengundi awal adalah pada 87%.
PRK Cameron Highlands menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran; Ramli Mohd Nor dari Barisan Nasional (BN) serta dua calon Bebas iaitu bekas pensyarah kanan Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib serta petani tempatan, Wong Seng Yee.
Pilihan raya itu diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Nov lalu mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei tahun lepas, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.
PRK ini adalah yang kelima setelah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan tiga pilihan raya sebelum ini adalah melibatkan DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong di Selangor serta PRK Parlimen Port Dickson.