PUTRAJAYA, 26 Jan – Tiga individu termasuk seorang anggota dan pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berkaitan kes tuntutan palsu penyewaan bas yang dianggarkan bernilai lebih RM16,000.
Menurut sumber seperti yang dilaporkan Sinar Harian, anggota TLDM berpangkat Laskar Kanan berusia 33 tahun tersebut ditahan pada jam 8.45 malam di Pejabat SPRM Cawangan Miri, ketika hadir memberi keterangan.
“Selain anggota TLDM berkenaan, turut ditahan ialah seorang pesara TLDM berusia 41 tahun dan seorang pengurus syarikat berusia 37 tahun yang disyaki bersubahat dalam penyewaan bas tersebut.
“Kedua-dua suspek tersebut ditahan di Pejabat SPRM Sarawak, Kuching pada jam 8.30 malam ketika hadir memberi keterangan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Jelas sumber, anggota TLDM tersebut dipercayai telah bersubahat dengan dua lagi suspek dalam mengemukakan invois yang mengandungi butiran palsu berhubung perkhidmatan sewaan tiga buah bas sempena latihan menembak TLDM pada Oktober 2017 sedangkan perkhidmatan tersebut tidak dibuat.
Tambah sumber, SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap kesemua suspek pagi ini di Mahkamah Majistret Miri dan Mahkamah Majistret Kuching.
Difahamkan kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sarawak, Razim Mohd Noor ketika mengesahkan penahanan itu namun enggan mengulas lanjut berhubung kes berkenaan.