Home Semasa Pakatan Harapan jangan ulangi kesilapan BN dalam menyelesaikan isu veteran

Pakatan Harapan jangan ulangi kesilapan BN dalam menyelesaikan isu veteran

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 25 Jan – Kementerian Pertahanan Malaysia digesa untuk memberi fokus yang penuh dalam menjaga kebajikan warga veteran ATM, bukannya secara bermusim atau ketika berlaku musibah semata-mata.

Gesaan itu disampaikan oleh Pengerusi Gerakan Reformasi Veteran Angkatan Tentera Malaysia (GRVATM), Azizan Salleh, dalam satu sidang media yang diadakan di Tugu Negara pada hari ini.

Menurut beliau, golongan veteran berharap perubahan tampuk kepimpinan kerajaan Malaysia yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu seharusnya membawa impian dan harapan baru dalam menjaga kebajikan warga veteran ATM.

“Namun, sehingga kini, impian dan harapan tersebut masih samar,

“Setelah hampir lapan bulan pemerintahan, sebuah kerajaan yang baru dibina di atas landasan idealism reformasi sepatutnya telah membuat beberapa perubahan yang besar dalam organisasi veteran,” kata Azizan.

Beliau menambah, kerajaan Pakatan Harapan seharusnya turut berjaya membentangkan pelan hala tuju masa depan veteran.

Sidang media tersebut turut dihadiri sekitar 30 orang veteran anggota ATM.

“Pihak Jawatankuasa menuntut pejabat Menteri Pertahanan agar dapat membentangkan hala tuju veteran yang lebih jelas agar kebajikan veteran ATM terbela.

“Kami menuntut cara dan kaedah penyelesaian isu veteran secara lebih menyeluruh dan bertanggungjawab,” ujarnya.

Gerakan Reformasi Veteran Angkatan Tentera Malaysia pertubuhan yang ditubuhkan secara ‘adhoc’ dan tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana parti politik atau pertubuhan lain.

Penubuhan Majlis Veteran Kebangsaan satu usaha yang baik

Pengerusi GRVATM pada masa yang sama menyambut baik langkah Kementerian Pertahanan untuk menubuhkan Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) pada 18 Disember 2018 lalu. Namun begitu, GRVATM berpendapat penubuhan MVK tidak mengambilkira penyertaan perwakilan yang mewakili majoriti veteran ATM yang terdiri daripada Lain-lain Pangkat (LLP) dan individu-individu penting yang menggerakkan reformasi ATM dari awal 2008.

MVK dianggotai Menteri Pertahanan, Mohamad bin Sabu, selaku Pengerusi. Beliau dibantu oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Halimi Abd Manaf selaku Timbalan Pengerusi dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran, Mejar Jeneral Dato’ Dzulkarnain Ahmad sebagai Setiausaha.

Jawatankuasa MVK turut dianggotai oleh 5 ahli yang dilantik oleh Menteri Pertahanan mengikut peruntukan kuasa pada Seksyen 3 (2) Akta Veteran 2012. Ahli-ahli yang dilantik ialah Panglima Angkatan Tentera, Presiden Persatuan Veteran ATM, Presiden Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia, Presiden Persatuan Veteran Tentera Udara DiRaja Malaysia dan seorang lagi veteran ATM.

MVK bersidang buat pertama kalinya pada 24 Disember 2018.

Menurut Azizan, hal ehwal kebajikan anggota ATM dari golongan LLP gagal dijaga oleh sepenuhnya oleh kerajaan terdahulu (Barisan Nasional – BN) kerana melantik wakil yang terpilih sahaja dan tidak mewakili majoriti.

“Adakah kerajaan hari ini masih mahu mengulangi kegagalan pihak BN?” tegas Pengerusi GRVATM.

Pada masa yang sama, GRVATM turut menuntut MVK yang baharu ditubuh untuk tidak melupakan individu-individu yang berjuang untuk kebajikan veteran, yang ada diantara didakwa telah disenarai hitam oleh kerajaan terdahulu.

Agensi korporat berkaitan ATM wajar bantu veteran

Pihak GRVATM turut menuntut pihak Kementerian Pertahanan untuk melihat langkah menggunakan agensi korporat berkaitan ATM dapat membantu warga veteran untuk menaikkan taraf hidup mereka.

“Kami juga menuntut satu simposium untuk diadakan bagi membincangkan  halatuju  organisasi berkaitan untuk memberi manfaat kepada golongan veteran ATM,” jelas Azizan.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!