KUALA LUMPUR, 25 Jan – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan sentiasa menentukan bahawa institusi kesultanan dan Yang di-Pertuan Agong sentiasa terpelihara, kata Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.
Zulkifli berkata ATM sentiasa taat kepada Yang di-Pertuan Agong dan negara yang mana Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong merupakan tampuk Pemerintahan Tertinggi ATM.
“Kami (ATM) akan menentukan bahawa institusi kesultanan dan Yang di-Pertuan Agong sentiasa terpelihara.
“ATM adalah benteng pertahanan negara dan akan terus berpegang teguh kepada sentimen itu,” katanya semasa sedang media selepas Majlis Perasmian Alumni Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Wisma Pewira ATM, disini hari ini.
Zulkifli menjawab pertanyaan pemberita apabila diminta mengulas mengenai pelantikan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-16.
Pada Khamis lepas, Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) di Istana Negara yang dipengerusikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah memilih Sultan Pahang sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Jan 2019.
Baginda menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuatkuasa 6 Jan lalu selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 13 Dis 2016.
Mesyuarat tersebut turut memilih Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama, menurut kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad hari ini.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan pada 7 Januari berkata Majlis Raja-Raja memutuskan istiadat melafaz sumpah jawatan dan menandatangani surat memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong baharu dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong ditetapkan pada 31 Januari ini.