KOTA KINABALU – Panglima Tentera Laut (PTL) Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany berkata Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan memberi keutamaan dalam masalah penginapan anggota, penambahan aset dan penggantian kapal usang untuk memastikan pertahanan laut negara terus berada di tahap yang baik.
Beliau berkata penggantian kapal-kapal lama akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keupayaan pihak kerajaan dan pihaknya akan mencari kaedah baharu bagi memastikan perbelanjaan yang lebih signifikan.
“Dalam usaha ini Armada Timur juga akan menerima beberapa aset baharu termasuk dua kapal misi pesisir (LMS) yang dijangka tiba menjelang hujung tahun ini.
“Kapal yang dilengkapi dengan sistem persenjataan angkatan laut moden itu mampu berdepan pelbagai cabaran semasa dan seterus meningkatkan semangat perwira di barisan hadapan TLDM,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pangkalan TDLM, Sepanggar, sempena lawatan ulungnya ke Sabah, hari ini.
Turut hadir Panglima Armada Timur Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob dan Panglima Angkatan Kapal Selam Laksamana Muda Datuk Zulhelmy Ithnain serta Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Sabri Zali.
Mohd Reza berkata TLDM sentiasa mengutamakan keperluan warganya kerana modal insan adalah faktor terpenting dalam mencorakkan masa depan agensi berkenaan selaku barisan pertahanan di perairan negara.
“Begitu juga berhubung kemudahan rumah yang menjadi keperluan khusus anggota TLDM. Apabila belayar, mereka tidak lagi perlu risau keluarga yang ditinggalkan dan sudah tentu dapat bekerja dalam keadaan motivasi yang sangat tinggi,” katanya.
Mengulas mengenai lawatan ulungnya ke Sabah, beliau turut melawat lima stesen luar pantai sekitar perairan Sabah untuk melihat kesiapsaigaan anggota yang bertugas di stesen berkenaan.
“Saya lihat keadaan di sana amat positif, anggota sentiasa bersiap sedia. Walaupun bertugas di kawasan yang mempunyai jarak ratusan batu di tengah laut perairan negara, namun semua anggota yang bertugas bermotivasi tinggi dan membanggakan,” katanya.
Beliau juga mengingatkan agar semua warga TLDM sentiasa mementingkan kesaksamaan, perpaduan, integriti dan disiplin yang tinggi semasa menjalankan tugas.