PUTRAJAYA, 18 Jan – Kementerian Luar Malaysia hari ini menafikan dakwaan lawatan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian ke sempadan perairan Malaysia mendapat ‘restu secara tidak rasmi’ daripada Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan timbalannya sebelum merancang untuk melawat pelabuhan Johor Bahru 9 Januari lalu.
“Menteri Luar Negeri, Saifuddin Abdullah atau timbalannya, Marzuki Yahya tidak pernah memberi restu akan lawatan Osman pada 9 Januari lalu,” kata Wisma Putra dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.
“Lawatan tersebut akan menjejaskan perkembangan positif antara Malaysia-Singapura setelah pertemuan antara Menteri Luar dari kedua-dua negara berlangsung pada 8 Januari,” jelas Kementerian Luar Negeri.
Pada 9 Januari 2019 lalu, Menteri Besar, Datuk Osman Sapian telah melakukan lawatan ke kapal MV Pedoman. Lawatan beliau telah mencetuskan kontroversi apabila Singapura mendakwa Menteri Besar Johor telah ‘menceroboh’ perairan Singapura.
Lantaran dari lawatan trersebut, Singapura bertindak menangguhkan mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Iskandar Malaysia (JMCIM) yang sepatutnya berlangsung pada 14 dan 15 Januari lalu.
Walaupun begitu, Osman menafikan dakwan Singapura dan bertegas beliau tidak menceroboh perairan Singapura serta tidak mempunyai niat untuk melakukan provokasi kepada negara jiran.
Wisma Putra menegaskan, sebaik mendapat maklumat mengenai lawatan tersebut dari agensi penguatkuasa Malaysia, pegawai Wisma Putra atas nasihat menteri segera menghubungi pejabat menteri besar dan menyampaikan peringatan supaya tidak meneruskan perancangan tersebut.
Bagaimanapun, ketika dihubungi, menteri besar telah pun berada di atas kapal menuju ke pelabuhan Johor Bahru dan akibat daripada lawatan tersebut, pihak kementerian telah menerima Nota Diplomatik dari Singapura bertarikh 11 Januari membantah tindakan tersebut.
Dalam kenyataan yang sama, Wisma Putra berhasrat untuk menumpukan usahanya bagi penubuhan pasukan bertindak dan menunggu untuk menjadi tuan rumah bagi mesyuarat pertama yang dijadual akhir bulan ini ke arah mengukuhkan hubungan dengan Singapura berasaskan kepada kesaksamaan dan saling menghormati.