Home Pertahanan dan Keselamatan Tiada cadangan bubar ESSCom – Shafie Apdal

Tiada cadangan bubar ESSCom – Shafie Apdal

by Nurulhuda

KOTA KINABALU, 16 Jan – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, agensi yang ditugaskan menyelaras usaha menjaga keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) masih beroperasi seperti biasa.

Beliau turut menafikan cadangan untuk membubarkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).

“Saya tak dengar apa-apa cadangan (membubarkan ESSCom). Ia masih lagi berfungsi,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Khas di Kota Kinabalu, pada Rabu.

Mohd Shafie berkata demikian ketika diminta mengulas khabar angin yang mengatakan ESSCom bakal dibubarkan, namun tiada penjelasan lanjut mengenai sebab cadangan itu dibangkitkan.

Terdahulu, Mohd Shafie berkata, mesyuarat JKKN membincangkan usaha untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan dalam menangani aspek keselamatan di seluruh negeri.

“Kita kena pastikan keadaan keselamatan terkawal sepanjang masa bukan saja di kawasan ‘hotspot’ atau tumpuan pada musim perayaan dan musim ramai pelancong saja,” katanya.

Dalam hal lain, beliau berkata, kerajaan negeri mengambil berat situasi cuaca semasa di negeri ini berikutan ramalan cuaca panas disebabkan fenomena El-Nino seperti dilaporkan Jabatan Meteorologi.

Katanya, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet negeri dengan tumpuan mengenai kesiapsagaan bomba bagi berdepan risiko cuaca panas, selain Jabatan Meterologi untuk memaklumkan laporan cuaca dari semasa ke semasa.

Mengenai bantuan kepada mangsa kebakaran di Pulau Banggi, beliau berkata, agensi berkaitan sudah diarah menyalurkan bantuan keperluan asas kepada mangsa.

Turut hadir pada mesyuarat itu adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Hashim Paijan, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah, Panglima Armada Timur Tentera Laut Diraja Malaysia Laksamana Muda Datuk Abdul Rahman Ayob dan Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Hazani Ghazali.

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!