Home Politik PRK Cameron Highlands: “Tak sokong PH, jangan bayar gaji dia” – Senator PKR

PRK Cameron Highlands: “Tak sokong PH, jangan bayar gaji dia” – Senator PKR

by Air Times News Network

CAMERON HIGHLANDS, 11 Jan – Senator PKR, Bob Manolan Mohd hari ini berkata ketua-ketua kampung Orang Asli atau Tok Batin di Cameron Highlands akan kehilangan gaji dan jawatan mereka sekiranya mereka tidak mengundi kerajaan persekutuan pada pilihan raya kecil 26 Jan ini.

Malaysia Kini memetik kenyataan Bob Manolan yang berkata, batin ini sememangnya dibayar oleh kerajaan pusat, maka itu Batin kena sokong Pakatan Harapan. Tak sokong kita buang.

“Mana-mana batin yang tak sokong kerajaan kita tak bayar gaji dia, betul? Jangan bayar gaji dia.

“Kita bayar gaji dia, dia tak sokong kita, buat apa kita bayar gaji dia,” kata Bob Manolan pada sesi dialog dengan Tok-tok Batin di kubu BN di Pos Betau, Jelai pagi tadi

Bob sendiri berasal dari masyarakat Orang Asli dan mewakili komuniti itu di Dewan Negara.

Menurut Bob, pemimpin masyarakat Orang Asli dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kini perlu menyokong agenda kerajaan.

Mereka yang hadir dalam majlis itu terdiri daripada ketua-ketua dan wakil daripada 18 perkampungan Orang Asli Semai dari kawasan terbabit.

Sebelum ini ketua-ketua kampung Orang Asli dibayar antara RM800 dan RM1,200 berdasarkan jumlah penduduk dan keluasan sesuatu kampung berkenaan.

Bob menjelaskan, kerajaan PH hanya mahukan ketua-ketua kampung yang boleh bekerjasama dengan mereka demi kebaikan rakyat.

“Kalau mereka tak boleh bekerjasama dengan kerajaan sekarang ini, bagaimana kita nak lantik dia jadi pemimpin masyarakat kampung?

“Dasar kerajaan sekarang bukan seperti kerajaan dahulu, kerajaan sekarang pemimpin Orang Asli itu mesti membela nasib anak buah mereka, kebajikan mereka

“Masalah kampung mesti mereka ketengahkan kepada kerajaan, bukan mengikut kerajaan dulu, angguk-angguk yes-yes semua. Janji duit masuk tiap-tiap bulan. Ini kita tak boleh terima, “katanya.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!