KUALA LUMPUR, 10 Jan – Sebanyak 30 peratus syarikat pengangkutan dijangka akan terlibat dalam Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA ’19) yang berlangsung bermula 26 hingga 30 Mac ini.
Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata buat pertama kali tahun ini Kementerian Pengangkutan terlibat sebagai penganjur bersama Kementerian Pertahanan.
“Sehingga kini, 75 peratus daripada ruang pameran di Pulau Langkawi telah ditempah pempamer luar negara, ia menunjukkan satu kemajuan yang baik, kami ada tiga bulan lagi sebelum LIMA ‘19.
“Seperti mana tahun-tahun lepas, penyertaannya adalah baik,” katanya kepada pemberita selepas hadir majlis serah terima tugas Panglima Angkatan Bersama (PAB) di Wisma Perwira, Kementerian Pertahanan di sini pada Rabu.
Lima ‘19 yang memasuki edisi ke-15 sejak diperkenalkan pada 1991, akan berlangsung di Pulau Langkawi dari 26 hingga 30 Mac ini.
Zulkifli berkata terdapat beberapa negara baharu yang akan menyertai LIMA ‘19.