PETALING JAYA, 9 Jan – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan tiga individu yang didakwa memuat naik komen berunsur hinaan dalam media sosial terhadap Sultan Muhammad V berkaitan isu peletakan jawatan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong XV, semalam.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata 3 individu berkenaan, Eric Liew Chee Ling, Azham Akhtar Abdullah dan Nur Alia Astaman ditahan pada 8 Jan 2019.
“Polis telah menerima beberapa laporan polis berhubung tindakan pemilik-pemilik akaun di media sosial.
“Ketiga-tida individu tersebut disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta hasutan 1948,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Polis menasihatkan orang ramai tidak mengeluarkan kenyataan bersifat provokatif atau memanipulasi isu peletakan jawatan Agong sehingga mampu menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi diraja.
“Masyarakat dinasihatkan untuk menggunakan medium laman sosial secara berhemah,” katanya.
Sultan Muhammad V meletak jawatan Agong ke-15 pada Ahad.
Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata ketua negara baru akan diketahui 24 Januari ini.