Home Semasa Malaysia perlu bertegas tangani isu ruang udara dengan Singapura

Malaysia perlu bertegas tangani isu ruang udara dengan Singapura

by M.Daim

PASIR GUDANG, 7 Jan – Penduduk di Pasir Gudang berharap isu ruang udara antara Malaysia dan Singapura dapat diselesaikan dengan baik.

Seorang penduduk tempatan yang ingin dikenali sebagai Arifin Soleh ketika ditemui berkata, beliau turut berharap agar kerajaan Malaysia untuk bertegas dengan Singapura kerana isu sebegini melibatkan banyak perkara termasuk keselamatan semua pihak.

“Hampir 30 ke 50 buah pesawat yang mendarat ke Lapangan Terbang Seletar terbang rendah melalui ruang udara kawasan perumahan dan bangunan tinggi,” kata Arifin.

Beliau menambah, kehadiran pesawat-pesawat yang terbang sekaligus memberikan ancaman keselamatan serta mengugat projek-projek pembangunan di Pasir Gudang.

“Perlaksanaan ILS yang baharu di Lapangan Terbang Seletar akan memberikan kesan negatif kepada penduduk Johor, khasnya di Pasir Gudang,” ujar Arifin.

Ditanya sama ada struktur binaan seperti kren atau tinggi sesebuah struktur boleh diubah, beliau menjelaskan tindakan tersebut merencatkan projek-projek pembinaan disamping menyebabkan pembaziran dari segi kos dan juga masa.

Isu ruang udara antara Malaysia dan Singapura timbul apabila Singapura bertindak mengisytiharkan perlaksanaan tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) yang baharu di Lapangan Terbang Seletar melalui satu notis yang dikeluarkan oleh Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) pada awal Disember 2018.

Berdasarkan notis tersebut, tatacara berkenaan sepatutnya bermula pada 3 Januari 2019.

Notis ILS Seletar telah mendapat bantahan dari kerajaan Malaysia kerana tatacara tersebut memberikan kesan kepada pembangunan Pasir Gudang.

Penguasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah mengisytiharkan kawasan larangan kekal udara yang berkuatkuasa pada 2 Januari 2019 di ruang udara Pasir Gudang melalui NOTAM yang dikeluarkan 25 Disember 2018.

Isu ILS Seletar merupakan isu yang akan dibincangkan dalam pertemuan antara wakil kerajaan Malaysia dan Singapura yang dijadualkan akan berlangsung pada 8 Januari nanti.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!