Home Semasa Kuasai bahasa Inggeris: Warga pendidik perlu terus main peranan – Tun M

Kuasai bahasa Inggeris: Warga pendidik perlu terus main peranan – Tun M

by Air Times News Network

KUALA NERUS, 7 Jan – Warga pendidik diingatkan agar terus memainkan peranan dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi yang menguasai bahasa inggeris, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Memetik laporan Bernama, Tun Mahathir berkata peranan guru amat besar dan penting dalam membentuk serta menentukan ‘jenis’ manusia yang menjadi warganegara Malaysia pada masa hadapan. Lantaran itu kerajaan memberi tumpuan serius dalam bidang pendidikan.

“Janganlah jadikan ini sebagai satu isu politik untuk menidakkan penguasaan ilmu hanya kerana kepentingan politik mana-mana pihak. Kita perlu kuasai bahasa Inggeris dan saya harap warga pendidik akan utamakan penguasaan ini kerana ia adalah bahasa ilmu untuk sains dan teknologi.

“Pendidikan sekarang akan berubah sedikit supaya kita akan dapat lebih banyak manfaat daripada (sistem) pendidikan di negara ini,” katanya ketika berucap pada majlis bersama warga pendidik negeri Terengganu di sini hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad serta 1,000 warga pendidik.

Majlis itu merupakan program pertama Dr Mahathir yang melakukan lawatan kerja sehari ke Terengganu hari ini.

Lawatan Perdana Menteri ini adalah yang pertama selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Mei lepas.

Dr Mahathir berkata kerajaan akan memperkenalkan sistem pendidikan yang lebih terarah kepada program membentuk rakyat lebih berwibawa dan mampu memajukan Malaysia dengan lebih pesat daripada dahulu dan sekarang.

“Dasar pendidikan kita bukan sahaja untuk memberi ilmu tetapi juga untuk membentuk peribadi yang baik. Untuk ini, kita perlu tumpu ajaran agama kita (Islam)… tentang apa nilai hidup yang perlu dipegang dalam Islam. Saya harap semua anggota warga pendidik akan ambil tumpuan perkara ini.

“Kita akan ubah kurikulum dalam sekolah-sekolah supaya tumpuan diberi penguasaan ajaran Islam yang sebenar, penguasaan bahasa Inggeris dan penguasaan sains serta teknologi….dengan ini kita fikir kita mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain di dunia ini,” katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir berkata kerajaan pimpinan PH kini giat memulih serta memajukan negara supaya lebih baik dari dahulu malah dalam usaha ke arah itu, bidang pendidikan akan diberi keutamaan.

 

 

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!