KUALA LUMPUR, 6 Jan – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V telah meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuatkuasa 6 Januari 2019.
Keputusan baginda telah dimaklumkan oleh pihak Istana Negara melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan pada hari ini.
“Tuanku menzahirkan ucapan terima kasih kepada Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja yang telah memilih Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke 15 mulai 13 Disember 2016,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Wan Ahmad Dahlan dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Istana Negara.
Tuanku Sultan Muhammad V turut menzahirkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia yang telah memberi kerjasama dalam mentadbir negara.
“Selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera, Baginda amat berbangga dengan pengorbanan serta taat setia yang telah dicurahkan kepada Baginda dan negara selama ini,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja.
Dalam kenyataan yang sama, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V turut bertitah agar rakyat Malaysia terus bersatu demi negara.
“Kepada rakyat Malaysia, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku bertitah supaya rakyat Malaysia terus bersatu mengekalkan perpaduan, bertolak ansur dan bersepakat dalam memikul tanggungjawab terhadap negara yang berdaulat ini supaya Malaysia terus berada dalam keadaan aman dan harmoni,” jelas pihak Istana Negara.
Pada ketika ini, pihak Istana Negara turut melaporkan Tuanku Sultan Muhammad V sedang bersedia untuk berangkat pulang ke Kelantan Darul Naim.