KUALA LUMPUR, 5 Jan – Penerbit dan pelakon terkenal, Datuk Rosyam Nor kecewa dan sedih dengan tohmahan melampau terhadap dirinya berhubung pemilikan 10 peratus saham di pasar raya ST Rosyam Mart yang diusahakan sejak tahun lalu.
Rosyam atau nama sebenar Mohamed Noor Shamsuddin berasa kecewa dengan tuduhan yang tular mendakwa beliau sebagai ‘barua’ Cina, dan menjelaskan dirinya adalah pemegang saham sebanyak 10 peratus syarikat berkenaan.
“Saya amat kecewa dengan tuduhan dipergunakan seperti yang tular di media sosial. Untuk pengetahuan semua, saya pemegang saham 10 peratus syarikat ini.
“Saya tidak kisah orang kata saya bukan pemilik sebenar ST Rosyam Nor namun melabel saya seperti itu membuatkan saya sedih dan kecewa. Ada orang cakap saya hanya duta syarikat ini bukan pemilik, itu tidak benar,” kata pelakon filem KL Menjerit itu dalam satu sidang akhbar di pejabat Sri Ternak di sini sebentar tadi.
Dalam sidang akhbar tersebut, Rosyam turut mendedahkan syarikat itu dimiliki Datuk Raymond Ho Cheng Hann yang memegang saham sebanyak 89 peratus dan adiknya, Alan Ho Cheng Yek (1 peratus).
Kata Rosyam lagi, beliau turut bersedih apabila ada segelintir pihak yang cuba untuk merosakkan reputasi dirinya dengan menyebarkan berita yang tidak sepatutnya.
Dalam pada itu, Rosyam turut membuat laporan polis terhadap individu yang mendakwa dia dengan pelbagai tuduhan dan menuduh bapa kepada pengarah Sri Ternak Group, Ho Ah Chai bekerja sebagai pengedar dadah.
Menurutnya, dia terpaksa membuat laporan tersebut dan mengadakan sidang akhbar kerana berasa malu dengan rakan kongsinya disebabkan dakwaan tersebut.