Home Pertahanan dan Keselamatan Polis nafi sudah tahan lelaki menyamar pegawai tentera

Polis nafi sudah tahan lelaki menyamar pegawai tentera

by Air Times News Network

TAMPIN, 30 Dis – Pihak polis hari ini menafikan sudah menahan suspek lelaki menyamar sebagai pegawai tentera berpangkat Kolonel yang cuba memasuki kem Batalion Kedua Rejimen 508 Askar Wataniah.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa, berkata maklumat yang tular di laman sosial sejak malam tadi mengatakan suspek sudah ditahan adalah tidak benar, menurut laporan portal Berita Harian.

“Kami masih memburu suspek dan belum mengenal pasti identiti sebenar lelaki terbabit.

“Bagaimanapun, kami sudah mendapat beberapa petunjuk yang dapat membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ramli berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan lelaki itu mempunyai masalah mental dan buat masa ini dia tidak dianggap sebagai ancaman.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.

Artikel Berkaitan: Polis buru lelaki menyamar pegawai tentera berpangkat Kolonel

Media semalam melaporkan polis giat mengesan lelaki terbabit selepas menerima laporan dia yang memakai seragam tentera lengkap cuba memasuki sebuah kem tentera darat pada jam 2.30 petang, 8 Disember lalu.

Kes penyamaran itu dan gambar yang dimuat turun daripada akaun Facebook yang dikatakan milik suspek itu turut menjadi tular di laman sosial Facebook serta aplikasi WhatsApp, sejak kelmarin.

Berdasarkan maklumat yang tular itu, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) Port Dickson, diminta berhati-hati kerana lelaki itu didakwa berpotensi melakukan perkara boleh mendatangkan kemudaratan terhadap keselamatan kem.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!