GEMAS, 30 Dis – Satu bom mortar lama ditemui sorang pegawai Tentera Darat ketika bermain golf di sebuah resort, di sini hari ini.
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa, berkata dalam kejadian jam 11 pagi itu, pegawai tentera terbabit dari Kem Syed Sirajuddin di sini, segera memaklumkan penemuan berkenaan kepada pengurusan resort berkenaan.
“Pengurusan resort kemudian menghubungi polis dan mengarahkan pengunjung serta pemain golf tidak menghampiri lokasi penemuan mortar di bawah pokok di tepi padang golf terbabit.
“Unit Pemusnah Bom (UPB) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dikejarkan ke lokasi untuk pemeriksaan sebelum memusnahkan bom itu pada jam 3.30 petang,” katanya.
Ramli berkata, tiada kejadian tidak diingini berlaku sepanjang proses memusnahkan bom mortar berukuran 36.5 sentimeter panjang dengan ukur lilit 28 sentimeter itu.