SHAH ALAM, 30 Dis – Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat berkata Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia, Datuk Azwanddin Hamzah yang direman sejak Khamis lalu telah dibebaskan tengah hari semalam dengan jaminan polis.
Memetik laporan Bernama, Fadzil Ahmat berkata polis sudah menyerahkan kertas siasatan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Polis sedang menunggu arahan seterusnya daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pada Khamis lalu, Mahkamah Majistret Klang mengeluarkan perintah tahanan reman selama empat hari terhadap Azwanddin bagi membantu siasatan menurut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Pada perhimpunan ‘Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat Waytha Moothy’ anjuran Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) di Dataran Seni, Klang dekat sini Selasa lalu, Azwanddin dalam ucapannya mengeluarkan kenyataan provokasi antara lain mengugut untuk menyerang Balai Polis Klang jika pihak yang terbabit dalam kematian Muhammad Adib Mohd Kassim tidak ditangkap.
Muhammad Adib yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya meninggal dunia pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara, selepas bertarung nyawa kira-kira tiga minggu susulan kecederaan parah yang dialami akibat diserang kumpulan perusuh dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya bulan lalu.
Sementara itu, peguam Azwanddin, Datuk Imran Tamrin ketika dihubungi berkata, anak guamnya dibebaskan semalam kira-kira jam 1.15 tengah hari di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara.
“Kini kami masih menunggu arahan lanjut daripada pihak berkuasa berhubung kes membabitkan Azwanddin,” katanya.