Home Semasa Pergaduhan R&R Gambang:Polis reman tujuh lelaki bantu siasatan

Pergaduhan R&R Gambang:Polis reman tujuh lelaki bantu siasatan

by Air Times News Network

KUANTAN, 26 Dis – Tujuh lelaki berusia 32 hingga 44 tahun dikenakan perintah reman di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan kes pergaduhan seorang pemandu bas ekspres di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gambang di sini yang tular di laman sosial sejak semalam.

Memetik laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata suspek berkenaan ditahan secara berasingan bermula malam semalam hingga awal pagi ini, di sekitar Kuantan dan Maran.

“Lima suspek ditangkap pada 8.30 malam semalam, semasa hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran. Seorang lagi suspek ditahan pada 9 malam semalam di hadapan kedai serbaneka di Inderapura di sini, yang kemudiannya turut didapati positif dadah.

“Tangkapan terakhir melibatkan pemandu bas yang berusia 32 tahun di IPD Kuantan pada pukul 1.15 pagi tadi,” katanya kepada pemberita di Kuantan, hari ini.

Mohamad Noor berkata semua mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, bagi tujuan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mohamad Noor juga mengesahkan pemilik gerai di R&R itu telah membuat laporan polis mendakwa dua pembantu kedainya ditampar, dicekik dan ditendang oleh seorang pemandu bas yang sering makan di kedai itu akibat salah faham.

“Pengadu mendakwa pekerjanya dikasari sedemikian selepas meminta pemandu bas itu menjelaskan bayaran RM1 bagi mencukupkan harga nasi lemak yang dijual RM2. Bagaimanapun, dia tidak mahu tindakan diambil kepada pemandu bas kerana mendakwa pekerjanya tidak mengalami kecederaan serius,” katanya.

Mohamad Noor menambah pembantu kedai makan berkenaan semasa disoal, mendakwa tidak mengetahui kejadian pemandu bas itu dipukul mahupun mengenali lelaki yang dilihat dalam video berkenaan.

Katanya, pemandu bas itu juga membuat laporan polis di Kuala Terengganu, Terengganu pada 3.30 petang semalam, mendakwa dipukul beberapa lelaki tidak dikenali kerana megesyaki disebabkan aduan pembantu kedai tersebut.

Semalam, video berdurasi seminit 48 saat tular di laman sosial menunjukkan pergaduhan di R&R Gambang arah Timur pada 1.30 pagi, 24 Dis yang dikatakan berpunca daripada salah faham.

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!