KLANG 26 Dis – Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) akan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V bagi mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy meletak jawatan.
Pengerusi Geras, Abu Bakar Mohamed berkata, memorandum itu akan diserahkan selepas 40 hari sekiranya menteri itu masih lagi menjawat jawatan itu.
“Memorandum ini juga akan dihantar kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya memecat pemimpin Hindraf tersebut.
“Kita juga mendesak supaya Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran turut disingkirkan,” katanya ketika sidang media selepas perhimpunan aman di Dataran Seni, pada Selasa.
Menurut beliau, pihaknya juga akan menghantar memorandum kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mendesak agar Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemiskinan dan Kerajaan Prihan dan Pekerja Ladang Selangor, V Ganabarau, turut disingkirkan.
Semalam, hampir 5,000 orang hadir ke perhimpunan ‘Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat Waytha Moothy’ yang dianjurkan oleh Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) di Dataran Seni di sini.
Peserta perhimpunan hadir mengenakan baju berwarna hitam sebagai tanda sokongan agar mereka yang bertanggungjawab dalam kejadian yang menyebabkan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dibawa ke muka pengadilan dengan segera.
Muhammad Adib yang parah dipukul ketika insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya bulan lalu meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 9.41 malam 17 Dis lalu selepas kira-kira tiga minggu menerima rawatan di institut berkenaan.
Peserta perhimpunan terlebih dahulu berkumpul di Masjid Bandar Diraja Klang bagi menunaikan solat jenazah ghaib bagi Muhammad Adib dan solat Asar secara berjemaah yang diketuai imam masjid itu Mohd Azrun Tuniran.
Para peserta perhimpunan mula berarak ke Dataran Seni Klang yang terletak kira-kira 400 meter dari masjid berkenaan pada kira-kira 5.15 petang sambil mengalunkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
Beberapa pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) turut memberikan ucapan di perhimpunan berkenaan.
Himpunan berkenaan turut mendapat sokongan beberapa NGO lain antaranya Gerakan Srikandi Malaysia, Angkatan Laksamana Bukit Jati Klang, Badan Amal Tarbiyah Sejagat, Pertubuhan Ikatan Muafakat Serumpun Malaysia dan Kebajikan Sejagat Malaysia.
Perhimpunan berlangsung tanpa sebarang kekecohan dan peserta mula beredar meninggalkan lokasi pada kira-kira 6.30 petang.