Home Semasa Pergaduhan R&R Gambang : ANIH Berhad siasat kakitangan terlibat

Pergaduhan R&R Gambang : ANIH Berhad siasat kakitangan terlibat

by Air Times News Network

KUANTAN, 25 Dis – Pemandu bas ekspres dipukul sekumpulan lelaki Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Gambang arah timur di Kuantan dipercayai berpunca kerana salah faham,  menjadi tular sejak malam tadi.

Video yang berdurasi 1 minit 49 saat itu menunjukkan mangsa yang memakai baju serta berseluar hitam ditumbuk dan ditendang beberapa kali di bahagian badannya oleh kumpulan lelaki terbabit.

Punca pergaduhan dipercayai akibat pemandu bas mengugut mahu melempang seorang pelayan yang menggunakan bahasa kesat terhadapnya, menyebabkan dia dipukul oleh beberapa individu selepas selesai minum.

Pemegang konsesi Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), ANIH Berhad menerusi kenyataan media di sini hari ini berkata, kakitangan yang terlibat akan dikenakan tindakan tatatertib sewajarnya mengikut prosedur tetap operasi syarikat, jika didapati bersalah.

“Tindakan kakitangan itu merupakan tingkah laku peribadi dan tidak melambangkan atau menggambarkan prinsip syarikat.

“Syarikat tidak bertolak ansur terhadap sesiapa yang terlibat dengan kejadian yang boleh menggugat kesejahteraan dan keselamatan pengguna lebuh raya,” menurut kenyataan itu.

ANIH Berhad yang kesal dengan kejadian itu menegaskan jaminan keselamatan dan ketenteraman awam pengguna adalah keutamaan mereka.

ANIH Berhad menambah, mereka difahamkan pemandu bas berkenaan telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran, dekat sini pada pukul 5 pagi semalam.

“ANIH Berhad memberi jaminan bahawa keselamatan pengguna dan ketenteraman awam adalah keutamaan kami,” katanya.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!