KUALA LUMPUR, 23 Dis – Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang hari ini telah menyeru agar lebih ramai belia bumiputera dari Sabah dan Sarawak untuk menyertai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Beliau menyatakan perkara tersebut dalam satu siaran media yang dikeluarkan TUDM pada hari ini.
“Saya mengharapkan agar lebih ramai golongan Bumiputera Sabah dan Sarawak akan menyertai kemasukan sesi baru Perajurit Muda Udara yang dijadualkan pada 5 Januari 2019,” kata Panglima Tentera Udara.
Dalam sidang media selepas Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Udara Siri 59/18 di Ipoh semalam, Tan Sri Affendi menyatakan terdapat peningkatan bilangan Perajurit Muda Udara dari Sabah dan Sarawak.
“TUDM pada masa ini menerima sambutan yang positif dari kalangan golongan Bumiputera di Seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak untuk menyertai pasukan ini.
“Peningkatan ini sekaligus membuktikan bahawa TUDM adalah antara kerjaya pilihan golongan belia di Malaysia,” kata Panglima Tentera Udara dalam siaran media.
“Namun, usaha dan fokus TUDM pada masa ini adalah tertumpu untuk memperomosi serta menarik minat golongan Bumiputera di Sabah dan Sarawak untuk bersama-sama berkhidmat dalam TUDM,” jelas Tan Sri Affendi.
Pada masa yang sama, TUDM turut memaklumkan usaha untuk mempromosikan TUDM sebagai satu kerjaya kepada masyarakat melalui Hari Terbuka TUDM telah membuahkan hasil. Ini dengan melihat bilangan pengunjung hadir melawat ke booth pameran kerjaya TUDM.
Kali terakhir TUDM melaksanakan Hari Terbuka TUDM adalah pada Oktober lalu di Pangkalan Udara Kuching.
Menyentuh Hari Terbuka TUDM di Pangkalan Udara Kuching, TUDM menyatakan bahawa reaksi penduduk tempatan pada hari terbuka tersebut adalah menggalakkan.
Selain daripada itu, TUDM turut berharap agar lebih ramai lagi khususnya golongan Bumiputera di Sabah dan Sarawak menyahut cabaran untuk menyertai TUDM.