KUALA LUMPUR, 21 Dis – Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin menafikan spekulasi Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Memetik laporan portal Utusan Online, Zuraida berkata, perkara tersebut tidak mungkin berlaku dan menganggapnya sebagai satu propaganda.
“Ia satu propaganda, tapi saya tidak tahu pihak mana,” katanya seperti dilaporkan portal mStar Online semalam.
Tular ketika ini dakwaan kononnya, Mohamed Azmin bersama 20 ahli Parlimen PKR akan menyertai Bersatu.
Spekulasi tersebut turut menjadi bualan netizen susulan ramai ahli Parlimen UMNO yang keluar daripada parti itu dan dikatakan akan menyertai Bersatu.
Perkara tersebut semakin hangat diperkatakan apabila pada 17 Disember lalu, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar kemudiannya meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan Pengerusi Pimpinan Negeri PKR Pulau Pinang.
Sementara itu, usaha mendapatkan reaksi Azmin menerusi telefon dan media sosial rasmi beliau tidak berjaya.
Setiausaha Politik kepada Mohamed Azmin, Muhammad Hilman Idham ketika dihubungi pula berkata, tidak logik untuk Ahli Parlimen Gombak itu untuk keluar daripada PKR.
“Tiada sebab untuk Mohamed Azmin keluar Keadilan (PKR). Beliau salah seorang pengasas Keadilan, setia dengan Keadilan dan menang besar dalam pemilihan parti baru-baru ini,” katanya.