Home Pertahanan dan Keselamatan 45 penuntut MPAT terima Diploma

45 penuntut MPAT terima Diploma

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 21 Dis – Seramai 45 pegawai kanan anggota tentera yang berpangkat Leftenan Kolonel dan Kolonel menerima Diploma dari Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) siri 38/2018 hari ini selepas menamatkan kursus pengajian selama setahun di sini.

Majlis penutup dan penyampaian Diploma MPAT telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang berlangsung di sini, hari ini.

“Kursus ini cukup baik untuk melahirkan pemimpin-pemimpin di kalangan angkatan tentera dan juga penjawat awam yang bersangkut paut dengan keselamatan sesebuah negara.

“Penuntut kursus juga didedahkan mengenai ancaman-ancaman baharu termasuk ancaman siber, ancaman pengganas dan ditekankan soal pertahanan menyeluruh seperti konsep HANRUH,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penutup dan Penyampaian Diploma Maktab Pertahanan Angkatan Tentera, di sini hari ini.

Turut hadir Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM; Panglima Angkatan Bersama, Laksamana Madya Dato’ Syed Zahiruddin Putra Syed Osman TLDM, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Hasagaya Abdullah serta Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Khairul Anuar Yahya TLDM.

Kursus berkenaan disertai 19 pegawai Tentera Darat Malaysia (TDM), lapan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), lapan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta masing-masing seorang wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pegawai Tadbir dan Diplomatik serta penuntut luar negara dari Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Fiji, Filipina, Indonesia, Singapura dan Thailand.

“Sepanjang kursus, penuntut diberi pengetahuan mengenai kemahiran berfikir secara analitikal dan kritikal terutamanya keupayaan dalam menyelesaikan masalah serta melaksanakan tugasan di peringkat strategik”

Pada majlis berkenaan, Komander Ahmad Sapuan Fathi Muhammad TLDM dipilih sebagai Penuntut Kursus Terbaik ATM,  Leftenan Kolonel Sean Duffy Jonathan Galloway dari Singapura dipilih sebagai Penuntut Kursus Terbaik (bukan ATM) manakala Komander Thaweesin Kongprasert dari Thailand sebagai Penuntut Kertas Kajian Terbaik.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!