Home Semasa Tujuh ketua perwakilan Malaysia ke luar negara terima Watikah pelantikan

Tujuh ketua perwakilan Malaysia ke luar negara terima Watikah pelantikan

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 20 Dis – Tujuh ketua perwakilan Malaysia ke luar negara menerima Watikah pelantikan di Istana Negara hari ini yang disempunakan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah.

Timbalan Ketua Setiausaha (Hal Ehwal Pelbagai Hala) Kementerian Luar Datuk Kennedy Jawan mendahului senarai penerima watikah pelantikan yang akan bertugas sebagai Duta Besar Malaysia ke Jepun.

Memetik laporan Bernama beliau sebelum ini memegang jawatan sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Afrika Selatan dari 2008 hingga 2014, Duta Besar Malaysia ke Sepanyol dari 2014 hingga 2016 dan Setiausaha Bahagian Amerika di Kementerian Luar pada Januari 2017.

Ketua Protokol Kementerian Luar Datuk Mohd Ashri Muda pula dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Sudan dari 2011 hingga 2014 dan Duta Besar Malaysia ke Argentina dari 2014 hingga 2017.

Pada majlis itu Ketua Pengarah Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) Datuk Azmil Mohd Zabidi menerima watikah pelantikan sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat.

Azmil sebelum ini memegang jawatan sebagai Setiausaha Bahagian Direktorat Kerjasama Ekonomi Pelbagai Hala dari 2010 hingga 2011, Duta Besar Malaysia ke Vietnam dari 2011 hingga 2016 dan Setiausaha Bahagian Eropah di Kementerian Luar dari 2016 hingga 2017.

Selain itu, Setiausaha Bahagian Eropah di Kementerian Luar Ismail Salam dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Penolong Setiausaha (Asia Tenggara dan Pasifik Selatan) dari 2004 hingga 2009, Menteri Penasihat di Kedutaan Besar Malaysia di Austria dari 2010 hingga 2012 dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya dari 2012 hingga 2017.

Turut menerima watikah pelantikan ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh Nur Ashikin Mohd Taib yang dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Sweden.

Nur Ashikin sebelum ini pernah bertugas di Bahagian Perancangan Dasar dan Strategi dari 2010 hingga 2012, Setiausaha Bahagian Penerangan dan Diplomasi Awam pada 2012 serta Timbalan Ketua Pengarah di Jabatan Perancangan Dasar dan Penyelarasan dari 2014 hingga 2016.

Setiausaha Bahagian Asia Tenggara di Kementerian Luar, Eldeen Husaini Mohd Hashim dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Kemboja.

Beliau pernah bertugas sebagai Menteri Penasihat di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Australia dari 2010 hingga 2014 dan Konsul Jeneral Malaysia ke Mumbai, India dari 2014 hingga 2017.

Watikah pelantikan turut dikurniakan kepada Setiausaha Bahagian Hak Asasi Manusia dan Kemanusiaan John K. Samuel yang dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Finland.

John pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah di SEARCCT dari 2009 hingga 2011, sebelum dilantik sebagai Konsul Jeneral Malaysia ke Frankfurt, Jerman dari 2011 hingga 2014 dan Timbalan Ketua Perwakilan di Kedutaan Besar Malaysia di China dari 2014 hingga 2017.

Pada istiadat itu, Seri Paduka turut berkenan menerima watikah pelantikan tiga ketua perwakilan asing ke negara ini iaitu Duta Besar Sepanyol, Jose Miguel Corvinos Lafuente; Duta Besar Republik Senegal, Fatou-Danielle Diagne dan Duta Besar Republik Lithuania, Gediminas Varvuolis (bermaustautin di Tokyo, Jepun).

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!