TAMPIN, 20 Dis – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) lembam, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan membuat panggilan ancaman bom di Hospital Tampin Jumaat lepas.
Tertuduh, Mohd Yusnaidi Mohd Yunus, 34, dihadapkan ke mahkamah sebaik tempoh reman selama enam hari tamat.
Memetik laporan Berita Harian, tertuduh didakwa menakutkan dengan cara menyembunyikan namanya dan membuat panggilan kepada Nor Zuzainni Jamaluddin, 38, di Hospital Tampin pada jam 5.50 pagi, 14 Disember lalu.
Tertuduh dituduh didakwa mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan keatasnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Tan Chai Wei kira-kira pukul 11 pagi tadi.
Tertuduh yang dipercayai memiliki rekod di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban gagal memberi jawapan tepat sama ada mengaku salah atas pertuduhan dikenakan keatasnya.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fuad Ramlan kemudian memohon mahkamah mengeluarkan perintah bagi mengetahui status kesihatan terhadap pemegang kad orang kurang upaya (OKU) lembam pembelajaran itu.
Majistret Tan Chai Wei kemudian memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Permai, Johor Bahru untuk pemerhatian di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah dan menetapkan 24 Januari depan untuk laporan perubatan.
Dalam kejadian jam 5.50 pagi itu, seramai 120 pesakit dan 50 kakitangan Hospital Tampin, cemas apabila mereka menerima panggilan bom palsu daripada lelaki yang tidak dikenali.
Sepasukan anggota dari IPD Tampin, Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Pengesan Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan yang ke lokasi melakukan pemeriksaan tidak menemui sebarang objek mencurigakan.
Susulan kejadian itu, polis berjaya mengesan suspek dan menahannya di sebuah rumah di Taman Dato Lela Maharaja, Chembong, Rembau, pada jam 10.45 malam hari sama.