Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Anggota TLDM perlu perkasa kemahiran mengendali alat tempur, sistem peperangan

Anggota TLDM perlu perkasa kemahiran mengendali alat tempur, sistem peperangan

by Air Times News Network

LUMUT, 17 Dis – Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Rusli Ramli berkata anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) perlu menjalani latihan secara berterusan bagi memperkasakan kemahiran mengendali alat tempur dan sistem peperangan.

Memetik laporan Bernama, Rusli berkata menerusi latihan dapat meningkatkan kompetensi pasukan keselamatan tersebut dengan semua aset yang dimiliki TLDM selain melahirkan modal insan yang berdaya saing.

“Seperti yang kita sedia maklum, teknologi canggih tidak semestinya mempunyai keupayaan yang tinggi jika tidak disokong oleh keanggotaan yang cekap, terlatih dan mahir”.

Manakala memetik laporan portal Sinar Harian, Rusli mengingatkan kepada seluruh warga formasi Armada Barat agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti pelanggaran disiplin seperti penyalahgunaan dadah, perjudian dan perlakuan jenayah.

“Setiap anggota perlu berfikir secara matang sebelum mengambil sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang.

“Ia merupakan perkara yang amat mendukacitakan dan memalukan kerana implikasi daripada tindakan yang diambil oleh anggota tersebut bukan sahaja memberi kesan kepadanya, malah juga melibatkan isteri, anak serta ahli keluarga.

“Oleh demikian, saya mahukan semua pegawai memerintah dan ketua jabatan lebih prihatin dalam usaha menghindari gejala pelanggaran disiplin daripada menular terutamanya dalam penyalahgunaan dadah,” katanya ketika berucap pada Perbarisan Operasi Panglima Armada Barat, di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), di sini, hari ini.

Tambahnya dia tidak akan bertolak ansur sekiranya terdapat mana-mana pegawai dan anggota sekiranya ditangkap terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

“Masalah penyalahgunaan dadah seharusnya diperangi habis-habisan dan zero tolerance, di mana saya tidak akan sesekali memberi ruang kepada mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat dengan dadah untuk terus berkhidmat dalam TLDM,” katanya.

Sementara itu, seramai 48 pegawai dan 465 anggota lain-lain pangkat (LLP) terlibat dalam perbarisan ulung Panglima Armada Barat, selepas Rusli mengambil alih tampuk pemerintahan tertinggi di Armada Barat sejak 15 November lalu.

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!