ALOR SETAR, 16 Dis – PAS menyifatkan krisis yang melanda Umno kebelakangan ini meruntuhkan struktur kepimpinan parti itu sekaligus dilihat tidak berupaya memperjuangkan agenda Melayu Islam.
Menurut Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan, berdasarkan kepada keadaan itu, Pas perlu menjadi parti utama menggalas tanggungjawab itu.
“Kalau dulu kita lihat dari segi kekuatannya dan jumlah ahli, memang Umno yang menjuarai perjuangan agenda untuk Melayu Islam, apatah lagi mereka dahulu berada dalam kerajaan.
“Sekarang ini mereka bukan lagi kerajaan dan ketika ini ramai pemimpin dan wakil rakyat mereka meninggalkan parti menyebabkan struktur Umno di beberapa peringkat sudah runtuh,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden, di sini pada Sabtu.
Rabu lepas, hampir keseluruhan barisan kepimpinan Umno Sabah termasuk lima anggota Parlimen, sembilan Adun dan dua senator mengumumkan keluar parti dengan alasan parti itu tidak mempunyai hala tuju yang jelas.
Enam lagi wakil rakyat Umno meninggalkan parti pada Jumaat.
Takiyuddin berkata bilangan wakil rakyat Umno tidak menentukan peranan dan pendirian Pas apabila diajukan soalan sama ada perkembangan itu memberi kesan terhadap kekuatan pembangkang di dalam Dewan Rakyat.
“Walaupun kita (Pas dan Umno) sama-sama pembangkang, tapi kita mempunyai ikatan yang longgar di Dewan Rakyat, berapa pun bilangan Umno pendirian kita jelas, kita berkecuali terhadap isu atau perkara-perkara yang dibawa kerajaan.
“Kita berperanan menasihat kerajaan, maknanya kita tegur apa yang tidak betul dan kita sokong apa yang betul, jadi, bilangan ahli Umno dalam Dewan Rakyat saya tidak nampak memberi masalah besar kepada kita,” tegasnya lagi.