KUALA LUMPUR, 13 Dis – Malaysia menggesa Singapura mengubah laluan penerbangan bagi kemasukan dari arah selatan serta menarik balik sistem pendaratan alatan (ILS) untuk Lapangan Terbang Seletar.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, jika laluan penerbangan ILS dibenarkan, Malaysia tidak dapat membina bangunan tinggi di Pasir Gudang selain Pelabuhan Pasir Gudang pula akan lebih terdedah kepada risiko serta pelbagai kekangan.
“Sebelum ini Lapangan Terbang Seletar tidak menggunakan ILS. Juruterbang boleh mengendalikan pesawat dengan mengelilingi halangan dan tiada peraturan mengenai had ketinggian di kawasan laluan penerbangan. Namun sekarang dikenakan had ketinggian bagi ILS.
“Dalam hal ini, kawasan yang terjejas adalah seluas dari Pasir Gudang ke utara hingga Ayer Tawar (Johor) dan hampir ke Kota Tinggi.
“Pendirian kita jelas, kita tidak ada masalah dengan Seletar. Namun dari segi laluan penerbangan yang hendak mendarat, ia tidak boleh melintasi ruang udara Pasir Gudang,” katanya dalam catatan Facebook pada Rabu.