SUBANG JAYA, 3 Dis – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam berkata, Kabinet bersetuju membenarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan beberapa akta yang sedang dalam kajian untuk dimansuhkan sebelum ini dalam mengendalikan kes rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights, di sini, Isnin lalu.
Antara akta tersebut, adalah Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2017 (POCA), Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA), Akta Hasutan 1948 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas (SOSMA 2012).
Memetik laporan Bernama, Muhyiddin berkata mesyuarat Kabinet pada Jumaat lalu, memutuskan untuk menarik balik sekatan (moratorium) yang diadakan sebelum ini berdasarkan keadaan semasa dan apa yang berlaku berkaitan kes kuil ini.
“Polis dibenarkan mengguna pakai akta berkenaan walaupun ia sedang dikaji dengan lebih teliti,” katanya pada sidang media selepas melawat anggota polis yang bertugas mengawal keselamatan di tapak kuil berkenaan di sini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd dan Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor.
Muhyiddin berkata langkah itu akan memberikan kuasa penuh kepada pasukan keselamatan sebagai panduan untuk bertindak dalam menjaga keamanan dan keselamatan awam supaya terkawal.