Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Fokus kesiapsiagaan maritim, kedaulatan negara – PTL

Fokus kesiapsiagaan maritim, kedaulatan negara – PTL

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 3 Dis – Kesiapsiagaan maritim dan menjaga kedaulatan perairan negara akan terus menjadi misi utama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Memetik laporan Harian Metro, Panglima Tentera Laut (PTL) yang baharu, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany hari ini memulakan tugas secara rasmi sebagai PTL ke-17 di Markas Tentera Laut, Wisma Pertahanan di Kuala Lumpur, menyatakan armadanya akan terus mendukung dasar keselamatan negara seperti digariskan sebelum ini.

“Saya akan pastikan segala dasar kerajaan yang digariskan akan terus didukung Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terutama dalam memastikan kedaulatan perairan kita sentiasa terpelihara.

“Selain isu kedaulatan itu, seluruh warga TLDM tidak kira di laut atau di darat akan terus berusaha sejauh mana yang boleh untuk menentukan kepentingan maritim negara sentiasa terjamin dengan segala aset ketenteraan yang kita ada,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Selain itu, katanya, beliau akan meneruskan program transformasi ‘15 to 5’ yang diilhamkan bekas PTL, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

“Ia akan diperkemaskan, diperbaiki dari semasa ke semasa mengikut keadaan.

“Pada masa sama, saya dan pucuk pimpinan TLDM akan memfokuskan kepada ‘fleet in being’ ataupun armada yang sedia ada akan sentiasa diberi tumpuan sementara menunggu kapal baru yang dihasratkan dalam program ‘15 to 5’,” tambah beliau.

Program transformasi ‘15 to 5’ adalah pelan penyusunan semula armada yang kini terdiri daripada 15 kelas kapal kepada hanya lima kelas kapal agar lebih efektif untuk disenggara.

Pembinaan 15 kelas kapal TLDM yang ada sekarang dilaksanakan di tujuh negara berlainan, justeru program transformasi itu bakal menyaksikan lima kelas kapal yang bakal dimiliki TLDM berkemungkinan dibina syarikat tempatan.

Ini bagi mengurangkan kebergantungan terhadap negara luar serta memungkinkan pengurusan logistik yang lebih baik dan efisien, pada masa sama, mempertingkatkan industri pembinaan kapal tempatan.

Majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas antara Laksmana Datuk Mohd Reza dan Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin telah diadakan di Auditorium Kementerian Pertahanan pada 29 November yang lalu.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!