Home Semasa Kerajaan lancar pas perjalanan tanpa had My100, My50

Kerajaan lancar pas perjalanan tanpa had My100, My50

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 1 Dis – Pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 dilancarkan kerajaan Pakatan Harapan sebagai langkah mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Memetik laporan Bernama, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kemudahan itu yang akan bermula di Lembah Klang pada 1 Jan 2019, turut akan diperluaskan ke negeri lain pada masa akan datang.

“Sebagai percubaan kita akan mula di Kuala Lumpur supaya kita dapat tahu sekiranya ada kelemahan untuk diperbetulkan.

“Ini yang menjadi pemikiran Pakatan Harapan untuk mengurangkan beban rakyat agar mereka boleh menikmati kehidupan lebih sempurna,” katanya pada majlis pelancaran pas My100 dan My50 di KL Sentral, hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Pelanco­ngan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.

Dr Mahathir berkata pengenalan pas perjalanan itu juga sebagai inisiatif kerajaan ke arah mengalakkan budaya sistem transaksi tanpa wang (cashless society) yang antara lain dapat mengekang gejala rasuah.

“Cash ni selalunya rasuah tapi cashless susah kita nak sogok rasuah kerana setiap perjalanan akan direkod supaya kita dapat tahu siapa yang menerima dan memberi.

“Kalau rasuah berleluasa di negara kita, apa juga kerja akan jadi mahal sebab perlu bayar kepada pihak-pihak tertentu untuk meluluskan sesuatu permintaan,” katanya.

Dalam ucapannya, Dr Mahathir berkata seperti janji manifestonya Pakatan Harapan sentiasa berusaha mengurangkan kos sara hidup rakyat dan kerajaan terbuka menerima pandangan daripada mana-mana pihak untuk penambahbaikan atau cadangan.

Terdahulu, Dr Mahathir turut berkesempatan menaiki sistem transit aliran ringan LRT dari stesen Universiti ke KL Sentral bagi majlis pelancaran.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!