KUALA LUMPUR, 30 Nov – Majlis Angkatan Tentera (MAT) yang bersidang pada 29 Oktober lalu bersetuju untuk meminda Garis Panduan Peminjaman (Secondment) anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menetapkan kaedah pelantikan secara pertukaran tetap anggota yang mendapat tawaran daripada agensi peminjaman serta Pelaksanaan Pengambilan Skim Diploma Tugas Khusus terhadap anggota lain-lain pangkat (LLP), Cawangan Kejuruteraan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Garis Panduan Peminjaman (Secondment)
Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan semalam, dasar sedia ada berkenaan Secondment anggota ATM telah dikeluarkan melalui PMAT Bil 6 Tahun 2009 berdasarkan kepada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 12 Tahun 2008 (PP Bil 12/2008) – Dasar dan Prosedur Pelantikan Secara Peminjaman, Pertukaran Sementara dan Pertukaran Tetap.
ATM tidak mengguna pakai dasar berkenaan pertukaran tetap kerana tertakluk kepada Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil 1 Tahun 1998 iaitu pesara tentera apabila dilantik semula ke perkhidmatan awam dan pelantikan hanya boleh dibuat secara sementara atau kontrak.
Walau bagaimanapun, hasil perbincangan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), suatu kaedah telah diputuskan dan dipersetujui oleh semua pihak terlibat bagi membolehkan anggota ATM untuk dilantik secara pertukaran tetap, katanya.
Kaedah Yang Ditetapkan Untuk Anggota ATM Dilantik Secara Pertukaran Tetap
“Pegawai yang menerima tawaran pertukaran tetap oleh agensi peminjaman hendaklah memohon kepada Ketua Perkhidmatan untuk dibersarakan mengikut peraturan sedia ada dalam tempoh 90 hari sebelum tarikh pelantikan oleh agensi peminjaman.
“Tempoh pinjaman pegawai ke agensi peminjaman akan dipendekkan dan ditamatkan oleh ATM bagi membolehkan pegawai dibersarakan untuk tujuan dilantik secara pertukaran tetap oleh agensi peminjaman.
“Pegawai akan menerima faedah persaraan dalam perkhidmatan ATM berdasarkan peraturan sedia ada dan diberi opsyen untuk memilih faedah persaraan pencen serta Ganjaran Perkhidmatan (jika layak) atau Ganjaran Tamat Perkhidmatan mengikut kelayakan berdasarkan peraturan semasa ATM.
“Pegawai juga dikehendaki memohon pengecualian untuk menghabiskan Cuti Rehat Terkumpul dan latihan peralihan bagi menggelak terputusnya tempoh pinjaman pegawai di agensi peminjaman.
“Pegawai layak menerima faedah persaraan di agensi baharu (Pencen/KWSP) mengikut kelayakan. Percantuman perkhidmatan hanya layak kepada pegawai yang memilih Ganjaran Tamat Perkhidmatan semasa menamatkan perkhidmatan di dalam ATM,” kata kenyataan itu.
Mewujudkan Laluan Diploma Tugas Khusus Dalam Kejuruteraan TLDM
Pada masa sama, MAT juga telah meluluskan pelaksanaan pengambilan Skim Diploma Tugas Khusus bagi anggota LLP, Cawangan Kejuruteraan TLDM. Namun skim kemasukan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti yang sedia ada akan diteruskan.
“Kumpulan pertama skim ini akan mula dilaksanakan pada awal tahun 2019, diploma yang dicadangkan adalah Diploma Kejuruteraan yang diiktiraf oleh Engineering Techonology Accreditation Council (ETAC) dan Malaysian Qualifications Register (MQR).
“Tred-tred yang terlibat di dalam Cawangan Kejuruteraan TLDM adalah Teknisyen Marin Kuasa Gerak (TMK), Teknisyen Marin Srimala (TMS), Teknisyen Elektrik Radio dan Radar (TLR) serta Teknisyen Elektrik Senjata dan Kuasa Gerak (TLS)” Katanya.
Selain itu, ujarnya, untuk rekod Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melaksanakan pengambilan Diploma Tugas Khusus sejak tahun 2013, selaras dengan kelulusan pindaan Syarat-Syarat Perkidmatan ATM 2013.